Connect with us

Terbaru

El Mars dan Kisah Gadis Monggol Yang Jelita

Published

on

What beautiful | Mongolian art | Art Zaya

Cerpen: Arafat Hambali (Malaysia)

 “Bapanya membina, anaknya menyirna. Bapanya menyubur, anaknya mengubur.”

Baiklah begini kisahnya, seperti apa yang telah disampaikan oleh Po A kepadaku, di sebuah negara yang dikepalai oleh seorang pemerintah yang bernama El Mars, beliau adalah seorang lelaki yang lebih separuh abad usianya, meneruskan legasi pemerintahan sebuah partai yang juga telah separuh abad berkuasa.

Masih juga teringatku kepada kata-kata Po A “bapanya membina, anaknya menyirna. Bapanya menyubur, anaknya mengubur.” Mana tidaknya, sebuah tanah rancangan yang diwujudkan oleh bapanya El Rado dahulu, kini sudah pun perlahan-lahan sirna. Sebuah penempatan semula dan tanah rancangan bagi para warga memajukan ekonomi keluarga dengan dikhususkan sejumlah bidang tanah untuk diusahakan mereka. Namun kini segalanya, perlahan-lahan sirna kerana sikap tidak bertanggungjawab anak El Rado.

Bapanya, El Rado adalah mantan kepala negara yang kedua, barangkali bilang Po A, pada ketika itu El Mars masih bocah. Meningkat umur remaja, El Mars mulai perlahan menceburi dunia politik.

“politik adalah hal sulit, yang lebih menyulitkan adalah politikus. Adakala politik adalah sebuah kekejaman, kekejaman datangnya daripada sebuah pemerintahan, pemerintahan datangnya daripada pemerintah. Untuk menjadi pemerintah harus menjadi seorang politikus”

Itu kata-kata Po A, ketika dia cuba mengadu nasibnya kepadaku beberapa tahun yang lalu. Tapi ketika itu kukira, tak semua politikus itu semuanya kejam, ada juga yang betul-betul ikhlas dan jujur. Pak Natsir misalnya, seorang pemimpin masyarakat yang betul-betul ikhlas sosoknya, tidak punya kereta mahal-mahal, asetnya juga seperti orang kebanyakan malahan sebahagian pendapatannya juga diperuntukkan untuk masyarakat yang memerlukannya. Tapi kusimpan saja pendapatku itu kerana ada benarnya seperti bilang Po A, kerana politik bukan soal ide semata-mata tetapi adalah soal tindakan.

Po A bukanlah seorang yang gemar berpolitik tapi dia mahir berpolitik dan sering ambil tahu akan soal politik. Katanya, “Buta politik adalah sebuah dosa, kerana kebutaan kita, tetangga di lingkungan kita akan menerima bahana. Bahana daripada kesilapan kita memilih pemimpin dalam pemilu adalah sebuah dosa besar. Memilih pemimpin zalim dan korup akan membinasakan tetangga”

Ya, beberapa tahun lalu, Po A pernah berurusan dengan seorang wakil rakyat yang telah diangkat selepas pemilu. Ketika itu Po A menemui wakil rakyat tersebut atas beberapa sebab antaranya mengenai masalah peparitan di kampungnya. Sistem peparitan yang tidak teratur telah menyebabkan kampungnya telah beberapa kali banjir kilat. Iya, seperti kilat yang sifatnya menyambar dan cepat bertindak balas. Wakil rakyat tersebut turun ke lapangan meninjau dan melihat sendiri keadaan kampungnya. Tetapi kilat tak selalunya menyambar, adakala hanya kelihatan nun jauh di angkasa. Perlahan sirna. Begitu jugalah dengan wakil rakyat tersebut. Sudah setahun lebih selepas turun melihat di lapangan, keadaan tidak berubah. Banjr kilat tetap berlaku.

Baca Juga:  Satu Titik, Cerpen Ali Mukoddas

Po A bilang, dia sudah berulang kali naik untuk berjumpa dan merujuk kembali permasalahan tersebut dengan pejabat wakil rakyat tersebut namun tiada tindakan dilakukan, sehinggakan dia berasa malu apabila sering dipersenda para pekerja di pejabat tersebut.

Setelah menginjak remaja, El Mars yang bermula sebagai ketua pemuda di sebuah partai sedikit demi sedikit memulakan langkah politik kotornya. Bermulalah sedikit demi sedikit zaman politiknya. Menggunakan pengaruh bapanya El Rado dan menabur sejumlah wang bagi memperoleh sokongan serta mandat. Daripada seorang ketua pemuda beliau menginjak menjadi kepala daerah dan bertanding merebut jawatan untuk menduduki kerusi di dalam sidang dewan rakyat hinggalah menjadi seorang menteri dan menjadi kepala negara.

Tabur-menabur wang bagi meraih sokongan adalah lumrah dan sudah menjadi resam kepada mereka yang punya kuasa demi melangsungkan kekuasaan mereka.

Sudah dua penggal El Mars menjadi kepala di Prang Besar, sebuah negara yang di kelilingi oleh pulau walaupun saiz negaranya barangkali dua belas kali ganda kecil daripada negara jirannya. Pulau-pulau indah tersebut ada sebahagiannya telah dijual, ada yang digadai dan ada yang dinaungi oleh segelintir penguasa luar.

Entah, Po A tidak mahu bercerita dengan sedalam dalamnya tentang beberapa pulau yang tergadai gara-gara pemerintahan yang lemah oleh kerajaan El Mars, tapi Po A bilang, itu sebahagian daripada campur tangan pihak luar yang mengeksploitasi kelemahan pemerintahan kerajaan El Mars. Cuma kata Po A, tidak dapat dibayangkan jika Prang Besar mempunyai 13 667 buah pulau, barangkali hanya yang tinggal cuma separuh atau kurang daripada separuh jika El Mars masih di tampuk pemerintahan.

Ramai rakyat marah apabila mengetahui satu persatu tanah milik negara mereka tergadai ke negara lain, termasuk aku. Misalnya seperti tanah di hujung selatan Prang Besar sudah pun terlepas pemilikannya.

Tapi, kemarahan bermusim ini ibarat seperti satu bencana. Sebentar dan akan dilupakan sehinggalah bencana lain menimpa semula.

Endak dikecewakan tidak ada perlunya kerana semua sedia maklum tentang status tanah itu dan kisahnya. Paling-paling lima puluh tahun lagi, cerita tersebut akan dilupakan. El Mars pun akan meninggal dunia dan semua orang akan mati. Jika semua yang ada sekarang bakal dipersalahkan; tidak mengapa. Di dalam kubur malaikat tidak akan datang dengan mengkhabarkan tentang caci maki yang dilakukan anak-cucu pada zaman tersebut.

***

Sejak El Mars menduduki kerusi empuk di Prang Besar, pelbagai aksi kriminal telah berlaku. Po A bilang, “orang yang serba terdesak akan segala, bisa melakukan apa aja waima sebuah pembunuhan kejam atau sebuah penipuan maha besar dan apa jua kejahatan yang tidak bisa difikir secara waras. Hanya kerana satu hal. Kekuasan”

Baca Juga:  Pelacur Negeri (Bagian 4: I) – Novelet Yan Zavin Aundjand

Iya, ada benar apa yang dibilang Po A, demi mengekalkan legasi kekuasaannya. El Mars sanggup berbuat apa aja dan  dia dibantu isterinya yang lagaknya tak ubah seperti Marie Antoinette atau Ibu Tien dan boleh jadi juga Imelda Marcos.

Misalnya apa yang telah terjadi kepada seorang gadis jelita berbangsa Monggol, seantero dunia seolah menjadi keliru bagaimana bisa seorang perunding kepada sebuah pembelian asset negara bisa menjadi mangsa pembunuhan kejam kelas atasan yang jasadnya dibom oleh beberapa pengebom upahan yang juga bertindak sebagai pekerja dalam kerajaan El Mars.

Gadis Monggol yang jelita tersebut sehingga ke hari ini, sudah hampir sepuluh tahun lebih tiada pembelaan walaupun bapanya sudah beberapa kali cuba merujuk kesnya ke muka pengadilan.

Po A bilang, “ada berlaku korupsi semasa pembelian asset tersebut dan barangkali gadis Monggol yang jelita tersebut tidak mahu terlibat dalam urusan pembelian asset tersebut atau ada rahsia yang telah dibocorkan oleh gadis jelita Monggol tersebut. Maka bagi menyelamatkan kekuasaannya, El Mars bertindak mengupah beberapa pegawainya untuk membunuh gadis Monggol yang jelita tersebut dengan cara mengebom jasad gadis tersebut agar tidak ada seorang pun yang bisa mengetahui akan pembunuhan kejam itu. Tapi ada juga cakap-cakap orang, gadis Monggol itu dibunuh kerana El Mars tidak lagi mahu memberikan sejumlah wang dan berlaku ugut mengugut antara mereka.

Kisah pembunuhan kejam itu menjadi senjata ampuh bagi partai pembangkang untuk menyerang kerajaan El Mars untuk menarik perhatian umum agar mereka memenangi pemilu umum, namun gagal. El Mars walaupun lemah dalam urus tadbir negara tetapi licik di dalam putar belit politik, kelicikan tersebut adalah bertunjangkan daripada soal kejahatan.

“Iya, politikus adalah sosok yang penuh kejahatan.” Bilang Po A kepadaku.

Po A pernah bilang juga bahawa gadis Monggol yang jelita itu agak seksi, pernah menjadi seorang model sambilan dan pandai berbahasa asing.

Aku pernah bertanya kepada Po A, kenapa terlalu sukar untuk menjatuhkan pemerintahan El Mars? Dan jawapan Po A mudah ada logiknya, katanya sifirnya mudah amat. Untuk menjatuhkan El Mars segala ramai manapun yang melawan, El Mars tidak ada satu pun yang bisa berhasil jika seluruh warga tidak bersatu. Bersatu yang dimaksudkan Po A adalah bersatu menolak pemerintahan El Mars di Prang Besar. Bukan bersatu menolak sosok El Mars semata-mata kerana El Mars adalah sosok keji yang sentiasa disokong, ditatang, dipapah oleh orang bawahannya. Maka mana mungkin bisa menjatuhkan El Mars sendiri tanpa menjatuhkan pemerintahannya. Tapi ada sesetengah kelompok hanya mahu menjatuhnya sosok El Mars sahaja.

Baca Juga:  Teringat Djamil Suherman, Penulis Umi Kulsum

Jika El Mars tersembab jatuh, semestilah dia akan mengheret, menarik dan membawa sekali segala para orang bawahannya. Maka mereka terpaksa bersatu dan teguh saling menyokong walaupun untuk sebuah kerosakan dan kebobrokan.

Malam itu, beberapa bulan selepas pembunuhan berlaku, kami melihat beberapa keping gambar El Mars dan gadis Monggol yang jelita itu tersebar. Kami yakin, gambar itu dipotret di luar negara. Kami yakin juga, pertemuan sulit itu pasti berakhir dengan indah. Barangkali ada makan malam yang bahagia atau sisa-sisa malam yang penuh berahi.

Dan sekitar November 2006, katanya tujuh belas hari selepas gadis Monggol yang jelita itu dibunuh dan jasadnya diletupkan. Prang Besar menjadi kecoh dengan berita pembunuhan agung ini. Media antarabangsa menjadikan Prang Besar sebagai berita utama di negara mereka. Manakala El Mars sedikit pun tidak berginjak daripada kekuasaannya walaupun menerima pelbagai tekanan dalam dan luar negara serta beberapa siri tangkapan pegawai kerajaan yang menjadi pemain watak utama dalam siri pembunuhan ini.

Di Prang Besar ini, kadangkala keadilan dan kebenaran itu sungguh aneh, keanehan itu bisa menjadikannya satu keunikan yang maha hebat hingga tidak bisa difikir oleh waras akal manusia sihat.

Dan pembunuhan maha agung ini, adalah salah satu pembuktian yang nyata bagaimana sebuah negara yang selalu dielus manja tentang retorika keadilan berpaksikan perlembagaan serta dalil-dalil agama berjaya dilakukan.

Tidak hairanlah pada akhirnya demokrasi itu sudah menjadi retorik seperti kata Po A dan kita harus menjatuhkan sebuah pemerintahan demokrasi. Kerana demokrasi yang sedang diilusi ini dipimpin oleh orang yang tidak benar.

Catatan: Cerpen ini menggunakan Bahasa Malaysia

Simak: Padang Suci : Sebuah Kisah Daripada Po A

Arafat Hambali

Arafat Hambali

*Arafat Hambali, lahir di Balik Bukit Chuping Perlis, Malaysia. Mantan graduan seni halus UiTM Shah Alam dalam major seni arca. Pernah menyertai beberapa pameran seni rupa dan pernah memenangi tempat utama kategori puisi, Hadiah Sastera Selangorkini 2015. Antara antologi bersama, Puisi Jadi Senjata, 2011. Puisi Jadi Senjata, Demokrasi Terdera 2012, Dia Ida, 2014. Nak Jadi Thukul 2014, Rumput Kuning, 2014, Trisula Kata Dari Daerah M,2014. Kita Semua Ayah Halim2015, SIPENA, 2016  Kumpulan puisi Kepak-kepak Malam Dari Sorga 2016, dan novel Sayap V 2016  serta karya-karyanya banyak disiarkan di beberapa akhbar alternatif sejak 2011 dan portal berita alternatif.

__________________________________

Bagi rekan-rekan penulis yang ingin berkontribusi (berdonasi*) karya baik berupa puisi, cerpen, esai, resensi buku/film, maupun catatan kebudayaan serta profil komunitas dapat dikirim langsung ke email: redaksi@nusantaranews.co atau selendang14@gmail.com.

Loading...

Terpopuler